Friday, June 22, 2012

Sebuah Watak ke-3

Bismillah...sekadar coretan refleksi terhadap salah satu watak manusia. Antara pencarian solusi buatnya dan juga pengakuan terhadap taqdir yang untuk diubah amat sukar. Manusia berdiri dengan pelbagai peranan dan jalan cerita. Untuk lempiasan ini, soal yang tak dapat diuji kita serahkan pada Ilahi, pasti Dia miliki laporanNya sendiri, mari melihat coraknya dari luar bukan dari hati seorang manusia pemilik watak ini.

Ada manusia biasa yang tak pasti kebenaran wujudnya dia, boleh jadi ada. Hidupnya biasa-biasa sahaja, jika nak dibuat cerita buat totonan umum, mungkin tidak apatah lagi untuk dijadikan sebuah novel mahupun drama, kerana wataknya yang biasa-biasa sahaja, seperti watak ke-3 dalam mana-mana karya. Boleh jadi watak ini hanya pilihan seorang pelajar sastera yang ada mahu untuk meneroka lebihan perwatakan yang mana pada mereka ia sebahagian dari pentas lakonan dunia. Watak ke-3, kadang diendah, kadang tidak, kadang nampak penting, itu pun sekejap cuma. Itu nasibnya, sesuai dengan peranan watak ke-3. Jika di atas pentas theatre, mereka lah pelakon extra. Ada, tidak bertambah; tiada, tidak berkurang. Banyak pula kayu ukur pemegang watak ini. Boleh jadi terhadap rupa, gaya, bakat dan sebagainya.

Tidak cukup kiranya memperkenalkan karakter seorang pemegang watak ke-3. Hidupnya pula penuh dengan kena tak kena, indah tak indah, jadi tak jadi, ceria tak ceria, suka tak suka. Pendek kata, ada turun naiknya, naiknya tak tinggi, turunnya boleh serendah lantai bumi. Jadi, apa yang boleh dibangga oleh pemilik karakter ini? Tiada, tiada lah sampai nak dijadikan sebuah cerita. Berjalan lah seorang watak ke-3 menuruti satu persatu pesan dunia, diendah tidak, tidak pula ditertawa seperti kebanyakan heroin cerita cinta. Kehadirannya yang jarang disedari, apatah lagi dirai, maka logik sahaja hatinya tak siapa nak ambil peduli. Sungguh biasa. Benarkah watak ini sesedih ini? Boleh jadi ia lebih sedih dari ini. 

Boleh jadi kerana ia hanya hidup untuk yang Maha Kaya. Berjalan tunduk atas jalan taqwa. Tiada siapa yang mahu dia pertontonkan kisahnya yang biasa. Yang penting buatnya pada pandangan Allah SWT. Bukan kita, bukan makhluk, bukan manusia yang memandang harta! Buat manusia yang hidup seperti 'Queen' dalam drama, atau 'Heroin' dalam filem star, jenguk-jenguk lah watak ke-3 ini, kerana boleh jadi roda berputar dua kali. Ambil ibrah sebanyaknya, boleh jadi kita nanti di tempatnya, tertunggu-tunggu peluang melangkah dek ramainya manusia mengejar dunia. 

Mari jadikan semua seperti watak penting di mata masing-masing. Yang pendiam, kita cuit biar dia bicara, yang lambat, kita tunggu berjalan beriring bersama dan yang lemah, kita tarik berpimpin bersama. Kenapa saya menulis ini tiba-tiba? Kerana saya amat lelah melihat nasib seorang pemegang watak ke-3, bukan nasibnya di depan Tuhannya, tetapi nasibnya yang tidak diendah manusia sekitarnya. Kepada yang lupa di mana kaki berpijak, ingatlah kita berpijak di bumi yang sama, berlindung di bawah langit yang sama, cuma perjalanan kita sahaja mungkin berbeza. 

Buat yang ke-3, 
Saya mengangkat watakmu, seindah kisah manusia dan cintanya pada Pencipta. Bergembiralah wahai teman! Syurga itu milik mereka yang sabar :)

Akmar



You can walk under my umbrella :)

Eh saya xde payung pun !



No comments: